أهلا وسهلا ومرحبا بكم
Semoga pembaca blog ini sentiasa dirahmati dan dilindungi oleh Allah....

ADUHAI HATI..

ADUHAI HATI..

Friday, February 12, 2010

14 Februari: Hari Apakah Itu Bagi Seorang Muslim?

Perayaan adalah sesuatu yang mengiringi fitrah kehidupan manusia. Ia adalah hari manusia memecahkan rutin kehidupan dengan melakukan sesuatu yang dikhususkan pada hari berkenaan dengan tujuan yang pelbagai. Kerana itulah, setiap bangsa manusia mempunyai perayaan mereka yang tersendiri. Ia disambut dengan pelbagai cara, dengan sebab, “˜sempena”™ dan matlamat yang berbeza-beza.

Islam sebagai cara hidup fitrah yang telah Allah sempurnakan ciri-ciri dan kemampuannya, turut menggariskan perayaan bagi umatnya. Sebagai umat Islam, perayaan turut menjadi salah satu cabang hidup yang mesti kita tempuhi mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Hadith Abu Daud yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiyallahu “˜anh secara jelas menegaskan bahawa Allah SWT telah memperuntukkan bagi umat Islam dua perayaan bagi menggantikan segala bentuk keraian yang diwarisi dari zaman jahiliah dan sumber yang tidak Islam. Dua perayaan berkenaan adalah Aidilfitri dan Aidiladha. Inilah dua hari yang bukan sahaja menjadi hari perayaan, bahkan Allah SWT menuntut kita agar tidak alpa dari me”™raya”™kannya. Puasa yang menjadi ibadah yang dipuji Allah, diharamkan pada dua hari berkenaan supaya umat Islam menyambutnya dengan sempurna dan tidak berlebih-lebihan di dalam ibadah sehingga ia “˜disangka taqwa”™.


Akan tetapi, dengan pertemuan Islam bersama bangsa lain, dan nilai iman yang corot, umat Islam mula meniru amalan yang tiada kena mengena dengan agamanya. Apatah lagi di dalam keadaan mereka yang bermastautin di negara bukan Muslim seperti kita di sini. Perayaan-perayaan bukan Islam seperti Hari Krismas dan Hallowe”™en saling mengunjungi, bukan sahaja dengan sebutan-sebutan mulut malah turut hadir bersama jualan murah di kedai-kedai, promosi besar-besaran di media dan hiasan-hiasan di sepanjang jalan. Semua itu sudah tentu menjadi perang psikologi, sehinggakan mereka yang tidak turut serta, boleh terasa janggal, dicemuh sebagai “˜anti sosial”™ atau apa-apa label yang kurang menyelesakan. Tidak lama lagi, Hari Valentine pula muncul. Anak-anak muda, malah mungkin juga yang sudah “˜out of season”™ sedang menanti apakah surprise yang bakal disediakan oleh insan tersayang, menjelang 14 Februari akan datang.

Apa kata, 14 Februari ini kita sediakan surprise yang paling bermanfaat, iaitu penjelasan berikut:

Di dalam sepotong Hadith yang terdapat di dalam Sunan Abi Dawood, Rasulullah SAW telah bersabda, “Barangsiapa yang meniru atau berkumpul meramaikan sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka”.

Syaikhul Islam Ibnu Taymiah menulis di dalam kitabnya Iqtidha al-Sirat al-Mustaqeem (jilid 1, muka surat 470) menyebut, “Terdapat beberapa noktah penting yang mesti diberi perhatian apabila kita membincangkan tentang perayaan dan hari kebesaran golongan bukan Islam. Pertama; perayaan, hari kebesaran dan amalan adalah peraturan, undang-undang dan cara hidup dalam konteks yang luas. Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran, “Bagi setiap umat itu telah Kami jadikan bagi mereka amalan yang mereka ikuti.” (Al-Hajj: 67) seperti mengadap kiblat, solat dan puasa. Tiada bezanya menyertai mereka di dalam perayaan dengan meyertai mereka di dalam amalan-amalan mereka yang lain. Bersetuju dengan perayaan mereka, adalah merupakan persetujuan ke atas perkara kufur. Bersetuju dengan mana-mana aspek kecil kepercayaan mereka adalah sama dengan kepercayaan terhadap cabang kufur. Malah, hari kebesaran (Holiday) dan perayaan salah satu kaedah utama yang membezakan adat dan undang-undang di antara satu kaum dengan kaum yang lain. Ia juga merupakan amalan yang paling menonjol bagi satu-satu bangsa. Redha dan bersetuju dengan perayaan itu adalah persetujuan terhadap perbuatan kufur paling khusus yang menjadi simbol bagi amalan dan cara hidup mereka. Tidak syak lagi, persetujuan seperti itu atau meletakkan diri pada ikutan terhadap situasi sedemikian rupa, hanya merebakkan kekufuran.”


Ini merupakan sedutan daripada kenyataan Syaikhul Islam Ibnu Taymiah yang cuba untuk memahamkan kita bahawa pesta-pesta dan sempena yang terhadap di sekeliling kita ini adalah simbol kepada cara hidup golongan bukan Islam. Tidak timbul soal sekadar hendak berseronok atau belajar bersosial, jika yang dilakukan itu adalah cabang redha kepada kufur yang hanya menatijahkan kemurkaan Allah SWT.

Lanjutan hal tersebut, para Ulama juga telah menegaskan bahawa perbuatan menyampaikan tahniah kepada golongan bukan Islam sempena hari kebesaran dan perayaan mereka, adalah sesuatu yang dilarang. Ibn al-Qayyim di dalam kitabnya Ahkam Ahl al-Dhimma (jilid 1, muka surat 205) menulis, ” Memberikan tahniah pada perayaan-perayaan tertentu yang dikhususkan kepada bukan Muslim dengan menyebut “Blessed holiday for you” atau apa-apa yang semakna dengannya, adalah dianggap tidak harus, pada persetujuan para Ulama. Walaupun seseorang itu mengucapkan tahniah di dalam keadaan bersih daripada mana-mana aspek kufur, ia tetap dianggap terlarang kerana tahniah itu adalah ucapan kita ke atas dosa-dosa besar seperti minum arak, berzina dan lain-lain perbuatan keji yang menjadi intipati perayaan tersebut. Ramai di kalangan mereka yang tidak begitu menjaga agama melakukan perbuatan seperti ini (mengucapkan tahniah) di dalam keadaan mereka tidak mengetahui betapa besarnya kejahatan yang mereka lakukan. Barangsiapa yang mengucapkan tahniah kepada seseorang atas mana-mana dosa atau kekufuran yang dilakukannya, maka dia telah mendedahkan dirinya kepada siksaan dan kemurkaan Allah SWT.”


Ibnu al-Qayyim juga telah menyimpulkan di dalam satu bahagian kitabnya tentang pendapat para Ulama berkaitan dengan hal ini. (Ahkam Ahl al-Dhimma, jilid 2, muka surat 722). Antara yang disebut, “Adalah tidak dibenarkan bagi para Muslim membantu golongan bukan Islam di dalam sambutan perayaan-perayaan mereka atau menghadiri majlis-majlis mereka berdasarkan kepada persetujuan para Ulama. Para ahli Fiqh yang mengikut keempat-empat mazhab yang muktabar itu juga telah menegaskan secara terang dan nyata di dalam kitab-kitab mereka. Abu al-Qasim al-Tabari menulis, “Adalah tidak dibenarkan bagi para Muslim menghadiri pesta dan hari kebesaran golongan bukan Islam kerana ia adalah dari jenis kebatilan yang keji. Jika golongan yang baik bercampur gaul dengan golongan yang jahat tanpa sebarang usaha untuk menghentikan apa yang dilakukan oleh golongan yang jahat itu, maka jadilah mereka sebahagian daripada mereka yang merestui kekufuran dan berada di bawah pengaruhnya. Dan sesungguhnya kita takut terjatuh ke dalam kemurkaan Allah disebabkan oleh keramaian mereka itu.”

Ibn al-Qayyim juga menyatakan bahawa Ibn Al-Qasim tidak menyukai orang Islam memberikan hadiah kepada orang Kristian semasa perayaan mereka. Beliau menganggap perbuatan ini sebagai memberikan penghormatan kepada perayaan itu, dan membantu orang Kristian berkenaan berkekalan di dalam kekufurannya. Al-Baihaqi yang merupakan ahli Hadith bermazhab Syafie, meriwayatkan dengan sanad yang sahih bahawa Abdullah ibn Umar R.A. menyebut “Barangsiapa yang tinggal di tanah air bukan Islam dan sama-sama menyambut perayaan-perayaan mereka serta berkelakuan seperti mereka sehingga dia mati, maka dia akan dibangkitkan bersama golongan Kuffar berkenaan pada hari Kiamat.”

Sesungguhnya kenyatan-kenyataan para Ulama ini menjadi amaran kepada diri kita agar tidak sewenang-wenangnya menelan segala yang ditemui di sini. Kehidupan kita di Ireland adalah kehidupan di tengah-tengah manusia yang hidupnya adalah pesta, gembira, joli sana dan joli sini tanpa menunggu hari dan masa yang tertentu. Oleh itu hendaklah kita berusaha memelihara diri dan Iman agar tidak mudah terkesan dengan perang psikologi 24/7 ini. Artikel ini tidak bermaksud untuk membincangkan tentang asal usul perayaan Valentine kerana kita boleh memperolehinya secara meluas menerusi internet. Di antaranya adalah di
Akan tetapi maksud perbincangan kita di sini adalah untuk mengingatkan diri tentang jati diri kita sebagai Muslim. Integrasi antara kaum dan rakan taulan tidak menuntut diri kita untuk sampai terheret kepada kemurkaan Allah SWT. Bahkan golongan bukan Islam juga tidak berhasrat untuk memberikan apa-apa manfaat kepada kita menerusi perayaan mereka melainkan ia akan berakhir dengan kita dan mereka, sama-sama terjerumus ke lembah yang hina. Cuma kita sebagai orang Islam yang sangat sensitif dengan soal harga diri dan Iman, membiarkan diri terjebak ke perbuatan-perbuatan imitasi buta itu hanya mencerminkan dangkal intelektual kalau tidak mampu disebut sampai ke dangkal Islam.


Jika benar kita mahu membuktikan kasih sayang, maka buktikanlah ia menerusi cara Islam yang halal, indah, penuh barakah dan tiada kesan sampingan. Tanpa perlu menunggu 14 Februari, berkahwin adalah Sunnah Nabi SAW, yang jika kita serius ke arah itu, susunkanlah agenda hidup ke arahnya dengan baik. Usahlah dibazirkan wang untuk membeli bunga ros, kad-kad ucapan, atau candle light dinner di restoran-restoran mahal, kerana semua itu adalah keindahan yang menjadi pagar-pagar kemurkaan dan neraka Allah SWT. Kumpulkan wang dengan baik, beli buku yang mengajar cara hidup rumah tangga Islam dan laluilah 14 Februari ini seperti kita melalui hari-hari yang lain, iaitu dengan mengulangkaji pelajaran, menghadiri majlis-majlis ilmu, beribadah dan berlumba-lumba mengejar kebaikan.

Si luncai terjun dengan labu-labunya

Biarkan… biarkan…
Semoga Allah mengurniakan kebaikan untuk kita semua. Wallahu A”™lam bi As-Sawaab.


DIPETIK DARI...
Abu Saif @ www.saifulislam.com
DUBLIN

No comments:

Post a Comment

Kenangan menjadi Calon FSSK

Kenangan menjadi Calon FSSK